Bahan bukti yang telah dirampas oleh SPRM seperti komputer riba, mata wang negara dan telefon bimbit ketika serbuan disekitar ibu negara pada hari ini. FOTO GENES GULITAH
Bahan bukti yang telah dirampas oleh SPRM seperti komputer riba, mata wang negara dan telefon bimbit ketika serbuan disekitar ibu negara pada hari ini. FOTO GENES GULITAH
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sindiket penipuan pelaburan dan mata wang digital kripto yang mensasarkan warga asing lumpuh selepas pusat operasi terletak di sebuah premis mewah di Jalan Raja Chulan di sini, digempur hari ini.

Serbuan pasukan khas Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu susulan Op Tropicana itu diketuai Timbalan Pesuruhjaya SPRM Dato Mohamad Zamri Zainul Abidin Selasa lalu.

Serbuan jam 12.15 tengah hari itu menemui pelbagai peralatan antaranya set komputer, pelayan internet, peralatan pejabat, dan pelbagai kelengkapan dipercayai akan digunakan bagi tujuan mencari mangsa.

Sekitar 200 unit komputer dan beberapa buah telefon pintar dirampas namun semasa serbuan tiada tangkapan dilakukan berikutan premis terbabit dalam keadaan kosong

Harian Metro yang menyertai operasi itu mendapati, pejabat berkenaan terletak di sebuah menara dipenuhi pejabat korporat termasuk beberapa buah kedutaan asing.

Pejabat berkenaan dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap sudut sehingga mencecah 10 ke 12 unit bagi satu ruang kerja malah semua tingkap ditutup dengan pita pelekat.

Sumber berkata, sindiket itu mensasarkan mangsa warga asing menerusi iklan pelaburan dan mata wang kripto di media sosial bagi mendapatkan maklumat berkaitan mangsa.

"Sindiket itu dipercayai memindahkan wang hasil penipuan ke akaun bank asing menerusi pengurup wang yang bersubahat," katanya.

Difahamkan, pejabat di tingkat 15 berkenaan sudah hampir 90 peratus siap diubahsuai dengan kos termasuk pelbagai kelengkapan komputer dianggarkan mencecah RM500,000.

"Premis terbabit juga dilengkapi dengan bilik mesyuarat, bilik latihan, bilik pelayan internet, pantri, dan ruangan penyambut tetamu lengkap dengan logo syarikat.

"Berdasarkan perkembangan ubah suai dan risikan SPRM, pejabat berkenaan dipercayai beroperasi dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi dan bakal menjadi hab bagi pusat panggilan penipuan sindiket itu di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai hanya mensasarkan mangsa dari Eropah dan Australia menerusi iklan pelaburan di media sosial seperti Instgram, Twitter dan Facebook.

Semalam, media melaporkan reman terhadap 10 individu disyaki ahli sindiket penipuan pelaburan antarabangsa itu dilanjutkan empat hari untuk siasatan lanjut.

Kesemua suspek adalah tujuh lelaki dan tiga wanita terdiri daripada lima warga United Kingdom (UK), dua Filipina dan tiga warga tempatan.

Sebelum itu Harian Metro melaporkan, SPRM menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan Op Tropicana di 24 premis berasingan

Difahamkan, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2019 mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa, warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 4:36 PM