GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Pelaksanaan inisiatif pemberian diskaun dan penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Belanjawan 2023, akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada kenyataan hari ini, PTPTN menyatakan komitmen untuk melaksanakan inisiatif diskaun sehingga 20 peratus dan penangguhan bayaran balik selama enam bulan kepada peminjam yang menepati syarat ditetapkan, bermula 1 Mac ini.

Badan itu menyifatkan kedua-dua inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, menunjukkan keprihatinan kerajaan dan mampu meringankan beban kewangan peminjam.

"PTPTN amat berterima kasih dan komited untuk melaksanakan inisiatif Belanjawan 2023 iaitu insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023.

"PTPTN juga menyambut baik inisiatif penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan. Permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac 2023.

"Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini, sekali gus meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan. Justeru, pelaksanaan inisiatif ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan kedua-dua inisiatif berkenaan ketika membentangkan Belanjawan 2023, yang turut dikenali sebagai Belanjawan MADANI di Dewan Rakyat.

Dalam ucapannya, Anwar memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac ini.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.

Mengulas lanjut, PTPTN menyatakan komitmen dan kesediaan untuk membantu peminjam selaras dengan inisiatif kerajaan yang telah diumumkan melalui Belanjawan 2023.

Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui saluran Careline PTPTN di 03-21933000, yang beroperasi Isnin hingga Jumaat pada jam 9 pagi hingga jam 5 petang.

PTPTN juga boleh dihubungi menerusi Live Chat di www.ptptn.gov.my; e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my/; serta media sosial rasmi PTPTN.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 12:59 PM