AL-Sultan Abdullah (kiri) dan Anwar ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
AL-Sultan Abdullah (kiri) dan Anwar ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembentangan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata perkara itu disembah maklum ketika beliau menghadap Al-Sultan Abdullah bagi urusan mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Esok, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Perdana Menteri pada 20 Disember lalu membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

Sebelum ini, Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan, sebelum terbubarnya Parlimen pada 10 Oktober tahun lalu bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 10:15 PM