Mayat kanak-kanak yang tergelincir ke dalam Sungai Sabang, Kampung Tambirat di Asajaya ditemui hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mayat kanak-kanak yang tergelincir ke dalam Sungai Sabang, Kampung Tambirat di Asajaya ditemui hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tebing Sungai Sabang di Kampung Tambirat, Asajaya petang semalam ditemukan lemas hari ini.

Mayat Mohamad Nudin Irfan Rahman, 8, ditemukan oleh orang awam pada 11.20 pagi berdekatan tempat dia dilaporkan terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat kanak-kanak itu mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Laporan kejadian mangsa terjatuh di tebing sungai itu dibuat pada 4.50 petang semalam.

Susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya digerakkan ke lokasi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini tertumpu dalam radius 500 meter dari kawasan mangsa dikatakan terjatuh sebelum mayat berjaya ditemukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:55 PM