UiTM Shah Alam. FOTO arkib NSTP
UiTM Shah Alam. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) akan dibatalkan.

Presiden Alumni FKPM, Basree Rakijan berkata, pembatalan gabungan itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

Katanya, perkara itu dimaklumkan ketika pertemuan beliau bersama Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, semalam.

"Dalam pertemuan itu, Alumni meminta UiTM untuk membatalkan serta-merta penggabungan itu berdasarkan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi surat bertarikh 1 November 2022 kepada universiti.

"KPT memutuskan sama ada UiTM menukar nama gabungan ketiga-tiga fakulti kepada Kolej Pengajian Media, Komunikasi, Pengkomputeran dan Informatik atau melakukan penstrukturan semula dengan mengekalkan FKPM seperti sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Oktober lalu, media melaporkan, Alumni FKPM UiTM membantah penggabungan dengan FSKM menjadi entiti baharu yang dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Mengulas lanjut, Basree berkata, tindakan pembatalan gabungan perlu disegerakan bagi memastikan tidak menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran, selain mengelak timbul masalah serta kekeliruan.

"Alumni Mass Comm (FKPM) menghargai pendirian terbaharu pengurusan UiTM yang menerima pandangan dan bersetuju mengekalkan FKPM.

"Saya percaya pengurusan UiTM amat serius dalam menyelesaikan kemelut ini dan kami memahami jika perlu menunggu tiga hingga enam bulan demi kebaikan dan masa depan fakulti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 12:24 PM