BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menegaskan tiada diskriminasi kaum dalam urusan pengambilan penjawat awam di negara ini dan semua warganegara Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk dipertimbangkan dalam persaingan terbuka dan adil.

SPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaedah pelantikan penjawat awam adalah telus berdasarkan merit, kompetensi calon dan tiada penetapan sebarang kuota untuk suatu kaum atau etnik tertentu.

"Calon yang berminat dan berkelayakan boleh memohon jawatan secara dalam talian melalui Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9) dan mereka yang memenuhi syarat lantikan skim perkhidmatan bagi jawatan yang kosong, akan dipanggil menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).

"Calon yang melepasi PSEE akan melalui tapisan peringkat seterusnya seperti Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) atau Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan (UKJK), Profession Assessment Centre (PAC) dan temu duga sebelum dilantik," katanya.

Menurut kenyataan itu, tapisan SPA terhadap calon dibuat oleh panel penilai bertauliah dan terlatih yang mahir menilai keupayaan fizikal, prestasi dan potensi setiap individu secara objektif.

Selain itu, SPA sentiasa menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi yang menguruskan hal ehwal masyarakat tertentu seperti Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Inisiatif berterusan oleh SPA seperti Program Libat Urus, Hari Kerjaya, Hari Bertemu Pelanggan dan program outreach disasarkan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terhadap tata kelola pengambilan SPA dan memberi panduan serta menggalakkan masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai perkhidmatan awam.

"Jalinan kerjasama dan program outreach ini sekali gus meningkatkan kefahaman masyarakat tentang ketelusan proses pengambilan dan pemilihan calon berasaskan merit dan kompetensi," menurut suruhanjaya berkenaan.

Menurut kenyataan itu, SPA juga sentiasa ke hadapan dalam melaksanakan reformasi pemilihan bakat terbaik, dengan menaik taraf sistem permohonan pekerjaan sepanjang masa melalui pengaplikasian teknologi kecerdasan buatan, bagi mengurangkan intervensi manusia dalam mengenal pasti calon yang memenuhi syarat skim perkhidmatan dan keperluan ketua perkhidmatan.

"Selain itu, ujian psikometrik secara dalam talian dilaksanakan bagi mengukur kecenderungan, ciri-ciri personaliti, kesesuaian dan integriti calon dengan jawatan yang ditawarkan. Temu duga secara maya juga telah dilaksanakan untuk memberi peluang kepada calon-calon menghadiri temu duga SPA walau di mana lokasi calon.

"Sebelum calon diperakukan untuk dilantik, calon perlu melepasi tapisan integriti melalui sistem yang diintegrasikan dengan maklumat Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam," menurut SPA.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy menerusi hantaran dalam Facebook meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.

Ramasamy juga mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menangani isu berkenaan serta memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini, namun Anwar dilapor berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan reformasi itu kerana tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor berkenaan sebagai satu masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 8:09 PM