Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang siswazah kerugian lebih RM138,990 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran pekerjaan melalui iklan di Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada siswazah berusia 24 tahun itu pada 27 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa memberitahu melihat iklan pekerjaan itu di Facebook sebelum berurusan dengan penama Nelson Pang dan diminta untuk memuat turun apps PbCompany.

"Mangsa kemudian diberikan id dan 'username'. Dia memberitahu perlu memasukkan wang ke dalam akaun itu dan mencapai 'target order' sehingga mencukupi nilai barang-barang daripada laman Shopee, Lazada atau Zalora yang dipesan syarikat," katanya.

Katanya, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 2.5 peratus bersama wang dimasukkannya itu jika berjaya mencapai sasaran jualan.

"Siszawah itu terus membuat bayaran untuk tujuan berkenaan dengan melakukan 15 transaksi bermula 22 hingga 25 Julai lalu ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM138, 990 menggunakan wang KWSP arwah bapa tirinya.

"Selepas pembayaran dilakukan, mangsa tidak mendapat wang komisen seperti dijanjikan dan masih diminta masukkan lagi wang," katanya mangsa kemudian menyedari ditipu sebelum tampil membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis menegaskan supaya data peribadi atau identiti tidak didedahkan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali atau baru dikenali di internet serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.

"Orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi serta membuat semakan latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 11:44 AM