YUSRINA Jusoh (kanan) melihat kesan tumor pada rahang gusi Norzita Pazil yang menyerangnya semula. FOTO Zuliaty Zulkiffli
YUSRINA Jusoh (kanan) melihat kesan tumor pada rahang gusi Norzita Pazil yang menyerangnya semula. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Langkawi: Ketumbuhan pada tulang rahang gusi yang dialami Norzita Pazil, 41, sejak 20 tahun lalu kini semakin parah apabila tumor itu tumbuh semula sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia mula mengalami bengkak pada rahang gusi pada 2003 dan menyangka bengkak itu hanya sakit gusi biasa dan menjalani rawatan di Klinik Kesihatan Padang Mat Sirat ketika itu.

"Doktor hanya beri ubat surut bengkak namun ia tidak surut dan menyebabkan saya pergi semula mendapatkan rawatan selepas sebulan.

"Disebabkan itu, saya terpaksa menjalani pembedahan pertama membuang ketumbuhan di bahagian rahang apabila ia membesar sebesar telur puyuh pada 2003," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Yooi, Mukim Bohor di sini.

Norzita berkata, bagaimanapun tumor itu dikesan semula setahun selepas itu, malah ia lebih besar dari saiz yang sebelumnya.

Menurutnya, disebabkan itu dia terpaksa menjalani pembedahan kedua pada 2005 untuk membuang tumor yang semakin membesar pada bahagian rahang.

"Disebabkan itu juga doktor terpaksa membuang empat batang gigi geraham di bahagian bawah.

"Sejak itu saya terpaksa berulang-alik untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Namun disebabkan tidak mempunyai sumber kewangan, saya terpaksa berhenti membuat rawatan susulan itu pada 2009 disebabkan tiga daripada empat anak masih bersekolah ketika itu," katanya.

Norzita berkata, pada 2020 iaitu ketika negara dilanda pandemik Covid-19, tumor baru pula dikesan pada bahagian rahang yang lebih besar dan agresif.

Menurutnya, disebabkan itu tulang rahangnya semakin mereput dan hampir patah menyebabkan doktor mengesyorkan dia supaya menjalani pengimejan resonans magnet (MRI) serta CT Scan (ujian imbasan tomografi berkomputer).

"Saya terpaksa akur apabila perlu menjalani pembedahan lagi di seluruh tulang, rahang dan gusi untuk pemasangan besi menggantikan tulang rahang yang dibuang.

"Sejak itu, saya tidak boleh makan secara normal dan hanya bergantung hidup dengan minum susu formula atau makanan lembut untuk meneruskan hidup," katanya.

Norzita berkata, dia terpaksa mencari pekerjaan dengan memandu teksi melalui Persatuan Teksi Langkawi di sekitar Pulau Langkawi sejak tujuh tahun lalu untuk mencari wang bagi membeli susu formula yang agak mahal kerana satu tin susu bertahan kira-kira empat hari.

Katanya, namun disebabkan persaingan dengan perkhidmatan e-hailing menyebabkan pendapatannya tidak menentu dan cukup sekadar untuk membeli susu.

Menurutnya, suaminya, Hazlizam Abu Bakar, 45, hanya menanam tembikai untuk menyara empat anak berusia antara 10 hingga 18 tahun, manakala anak sulung sudah bekerja di sebuah kedai minuman di sini.

"Saya buntu memikirkan untuk mencari sumber kewangan untuk membeli susu yang mahal kerana tidak mampu untuk makan seperti orang lain kerana wang hasil memandu teksi habis digunakan dan tidak sempat dikumpul," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi 012-592 7973 (Norzita) atau menyumbang ke akaun miliknya di 02066023615925 (Bank Islam).

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia Zuraini Kamal turut menghantar wakil CSM Langkawi Yusrina Jusoh untuk memantau perkembangan pesakit dan pihaknya pernah membantu Norzita sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 1:20 PM