GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Pendang: Menyamar polis, menyamun dan mencabul. Itu pakej jenayah '3-in-1' (tiga dalam satu) yang dikesan dilakukan seorang lelaki sebelum dia diberkas sepasukan polis dalam serbuan di sini, Ahad lalu.

Suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan pada 3.30 petang selepas seorang lelaki membuat laporan polis mendakwa dia menjadi mangsa penipuan suspek yang turut merampas telefon bimbit dan mencabul isterinya.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, mangsa mendakwa dia pada mulanya dihampiri suspek ketika sedang membaiki kereta seorang rakan yang rosak di tepi jalan berhampiran stesen minyak pada 12.30 tengah malam.

"Mangsa memberitahu suspek ketika itu menunggang skuter seorang diri serta menghampiri mereka sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Suspek kemudian meminta kad pengenalan kedua-dua lelaki terbabit dengan mendakwa kononnya untuk membuat semakan sebelum turut merampas telefon bimbit mangsa," katanya.

Menurutnya, suspek turut berpesan kepada mangsa supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang sekiranya mahu mengambil telefon bimbit miliknya.

"Bagaimanapun, suspek mengambil kesempatan menghubungi isteri mangsa melalui telefon bimbit yang dirampasnya serta memberitahu wanita berkenaan yang suaminya berada dalam tahanan polis.

"Suspek kemudian mendakwa kononnya dia boleh melepaskan mangsa dan mengajak wanita terbabit bertemu serta berbincang di kawasan perumahan," katanya.

Menurutnya, wanita berkenaan yang percaya serta bimbang dengan keadaan suaminya memandu kereta menuju ke lokasi seperti diberitahu suspek.

"Sebaik tiba, suspek masuk kereta dan meminta wanita berkenaan terus memandu selain memberitahu boleh berbincang mengenai situasi mangsa.

"Bagaimanapun, suspek mengambil kesempatan memujuk wanita berkenaan untuk melakukan hubungan seks namun ditolak dan dia yang berang kemudian mencabul isteri mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa serta isteri hanya menyedari mereka ditipu suspek yang menyamar pegawai polis dan wanita terbabit menceritakan segala kejadian menimpa kepada suaminya yang ketika itu pulang dalam keadaan selamat.

"Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa dirinya dan susulan daripada itu sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pendang berjaya mengesan dan menahan suspek.

"Hasil semakan serta pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau masing-masing membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beg serta kotak hitam yang mengandungi Syabu dianggarkan seberat 2.45 gram, kondom dan sebuah telefon bimbit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 354 KK dan Seksyen 170 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 4:56 PM