Peniaga bahulu bakar Rizal Mohamad, 51, dan isterinya, Rosnani Said, 51, melihat keadaan kedai mereka di Jalan Haji Ariffin, Endau, Mersing, Johor yang dinaiki air dalam tinjauan Bernama, semalam. FOTO BERNAMA
Peniaga bahulu bakar Rizal Mohamad, 51, dan isterinya, Rosnani Said, 51, melihat keadaan kedai mereka di Jalan Haji Ariffin, Endau, Mersing, Johor yang dinaiki air dalam tinjauan Bernama, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Mersing: Seorang pembuat kuih baulu di Jalan Haji Ariffin, Endau, di sini, resah, keadaan hujan yang berterusan di daerah itu menyukarkannya untuk mendapatkan bekalan sabut sekali gus menjejaskan pendapatannya.

Rizal Mohamad, 51, yang menjalankan perusahaan kuih tradisional itu berkata, hujan dan banjir berterusan dikhuatiri akan menjejaskan premis yang menjadi satu-satunya punca pendapatan keluarga.

Dia bersama isteri, Rosnani Said, 51, yang menjual kuih pau di depan kediaman mereka itu berkata, kejadian banjir termenung menambah kesukaran untuk mengemas premis dan menjual kuih yang menjadi pilihan masyarakat ketika perayaan, majlis keraian serta juadah minum petang itu.

"Apabila cuaca hujan berterusan seperti ini, agak sukar untuk kita mendapatkan bekalan sabut yang boleh didapati dengan kos RM60 bagi muatan sebuah lori kecil.

"Saya berniaga baulu sabut, baulu cermai, baulu berbentuk bunga dan ikan. Pendapatan juga tidak menentu. Kalau sabut ada, dapatlah kira-kira RM250 hingga RM350 sehari," katanya ketika ditemui Bernama di premis berkenaan yang dinaiki air hingga paras lutut di sini, hari ini.

Rizal yang berniaga sejak 2017 itu berkata, hujan lebat yang berterusan melanda daerah itu sejak Sabtu lepas menyebabkan premisnya dinaiki air pada hari sama sehinggakan barang perniagaan seperti sabut kelapa menjadi basah malah dua tong gas turut dibawa arus deras, namun sempat diselamatkan.

"Sekiranya banjir termenung berlaku, maka terpaksalah kami tutup (premis) dulu, tambahan pula keadaan cuaca pun tidak menentu sekarang," katanya.

Bagaimanapun, bapa kepada lapan anak itu belum dapat memastikan jumlah kerugian kerana masih belum menghidupkan suis elektrik utama di premisnya.

"Kita juga khuatir mesin pengadun dan ketuhar rosak," katanya yang mendapat bantuan alatan itu daripada sebuah bank.

Setakat 12 tengah hari tadi, daerah Mersing antara daerah kedua paling ramai mangsa terjejas banjir dengan 830 orang yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS), di belakang Batu Pahat yang merekodkan 952 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 3:18 PM