MANGSA banjir di daerah Kota Marudu ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Tandek Kota Marudu. FOTO BERNAMA
MANGSA banjir di daerah Kota Marudu ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Tandek Kota Marudu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun, manakala di Johor ia menunjukkan peningkatan dan Pahang, ia kekal dengan 314 orang, setakat 8 pagi ini.

Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 1,664 orang daripada 651 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding 1,723 orang daripada 673 keluarga malam tadi.

Di JOHOR, JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS meningkat sedikit kepada 2,511 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,216 orang pada 8 malam tadi.

Terdapat pertambahan satu PPS di Mersing dan dua di Batu Pahat menjadikan 33 PPS beroperasi setakat ini di tujuh daerah masih terjejas iaitu Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Mersing masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 836 orang, diikuti Batu Pahat (694), Kluang (422), Kota Tinggi (416), Segamat (123), Tangkak (15) dan Muar (5).

Di PAHANG, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Rompin kekal 314 orang daripada 96 keluarga, yang kini ditempatkan di tiga PPS iaitu PPS Kampung Setajam seramai 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122) dan PPS Kampung Denai (27).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 10:33 AM