Veena Rusli

Bandar Seri Begawan: Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara ini.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Istana Nurul Iman di sini pada jam 11.05 pagi.

Turut berangkat pada majlis menghadap itu ialah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Perdana Menteri turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Hadir sama, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar kemudian mengadakan pertemuan empat mata bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

ANWAR Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah (kiri) bersama Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah (kiri) bersama Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah. FOTO Bernama

Selesai pertemuan itu, Perdana Menteri dan Sultan Brunei menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman, manakala Pemangku Pengarah Urusan BIA, Sofian Mohammad Jani, menandatangani MoU bagi pihak Brunei.

MoU berkenaan akan membolehkan kedua-dua pihak mengadakan rundingan ke arah pelaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan dua hala.

MoU itu merangkumi kerjasama dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI), pelancongan dan industri makanan halal.

Anwar dan delegasi kemudian diraikan pada Majlis Persantapan yang dihoskan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.

Anwar tiba di Brunei semalam dan ini adalah lawatan rasmi keduanya ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 1:20 PM