AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan.
AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah disambut Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan.
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei untuk Lawatan Negara ke negara itu bermula hari ini sehingga 20 Ogos.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka tiba di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Bandar Seri Begawan, 1.10 tengah hari tadi, diberi sambutan hamparan permaidani merah. Turut berangkat bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Ibni Sultan Hassanal Bolkiah serta isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman.

Turut berada ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei selaku Menteri Pengiring Datuk Seri Setia Dr Awang Abu Bakar Apong dan isteri, Datin Paduka Dayang Jahrah Mohamad.

Rombongan lawatan itu turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, pegawai-pegawai kanan kementerian luar, Istana Negara dan Jabatan Perdana Menteri.

Seri Paduka kemudiannya melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Setempat (static guard) Tentera Darat Diraja Brunei, yang terdiri daripada 26 anggota, diketuai Leftenan Mohd Yusof Ibrahim.

Brunei merupakan negara sulung yang dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Lawatan negara tiga hari Tuanku ke Brunei bertujuan mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 35 tahun lepas.

Bandar Seri Begawan turut dihiasai Jalur Gemilang bersama-sama bendera kebangsaan negara Brunei Darussalam sebagai tanda mesra mengalu-alukan kunjungan Seri Paduka.

Bagi memulakan lawatan, pasangan diraja berkenaan dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bersama diaspora Malaysia di sini malam ini.

Sempena kunjungan itu juga, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong antara lain dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, selain melawat beberapa tempat bersejarah dan Jabatan Kerajaan di Bandar Seri Begawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 3:12 PM