Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama pelbagai rokok tidak bercukai bernilai kira-kira RM500,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Flora Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dijalankan oleh polis bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 4 Semenyih.

"Siasatan polis mendapati, pelbagai jenis 40 kotak besar mengandungi 2,094 karton rokok dipercayai tidak bercukai disimpan di dalam premis iaitu sebuah rumah teres dua tingkat.

"Pemeriksaan dalam sebuah kereta jenis Toyota Altis berwarna kelabu juga menjumpai satu kotak berwarna coklat dipercayai rokok tidak bercukai.

"Polis turut menangkap suspek lelaki yang bertindak sebagai penjaga stor premis itu di mana suspek direman selama enam hingga 24 Januari di Lokap Balai Polis Banting, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135, Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media di di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, petang tadi.

Ahmad Ridhwan berkata, modus operandi sindiket itu dengan menyeludup masuk pelbagai jenis dari negara jiran dipercayai melalui perairan Selangor secara haram untuk pasaran tempatan.

"Stok rokok disimpan di sebuah rumah kosong (kawasan perumahan) untuk diedarkan ke kedai-kedai runcit di sekitar Lembah Klang mengikut permintaan.

"Aktiviti sindiket ini dipercayai beroperasi lebih kurang setahun. Aktiviti ini dipercayai masih dijalankan di Selangor khususnya dan di seluruh negara amnya," katanya.

Sementara itu katanya, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga India yang disyaki terbabit dengan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dan minyak hitam terpakai, Isnin lalu.

Katanya, tangkapan melalui Op Taring itu dijalankan oleh WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) di sebuah gudang di Jalan Klang Banting, Kampung Sungai Jarom, di sini.

"Hasil serbuan mendapati suspek sedang membuat aktiviti pemindahan minyak disyaki minyak diesel bersubsidi dari lori lima tan ke lori tangki lain di dalam premis itu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dua lori tangki 30 tan, sebuah tangki tanpa kepala, sebuah lori diubahsuai, empat unit pam penyedut minyak pelbagai jenama bersama hos getah juga 100 tangki IBC.

"Turut dirampas 32,400 liter minyak diesel (anggaran nilai RM85,500, 183,400 liter minyak (anggaran nilai lain-lain rampasan RM137,550.

"Anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan keseluruhan barang kes dan premis adalah RM 8,481,720," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 34(B) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

AHMAD Ridhwan Mohd Nor @ Saleh menunjukkan antara rokok yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am Batalion 4 Semenyih. FOTO Ruwaida Md Zain.
AHMAD Ridhwan Mohd Nor @ Saleh menunjukkan antara rokok yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am Batalion 4 Semenyih. FOTO Ruwaida Md Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:14 PM