MOHAMAD Hamdan Wahid memeriksa barisan sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2023 di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin.
MOHAMAD Hamdan Wahid memeriksa barisan sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2023 di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. FOTO Eizairi Shamsudin.
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Isu pemanasan global dan perubahan cuaca ekstrim antara cabaran akan dihadapi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam mendepani masa hadapan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, JBPM harus bersiap sedia mendepani cabaran yang cukup dinamik dan mencabar daripada pelbagai bencana ekoran perubahan iklim, fenomena alam serta risiko industri.

Menurutnya, cabaran itu harus diintegrasikan dalam perancangan pembangunan organisasi dan fasiliti kebombaan.

"Isu pertumbuhan urbanisasi yang progresif ditambah dengan kepesatan pembangunan teknologi termasuk reka bentuk bangunan lebih kompleks, kita seharusnya mengkaji, merancang, membangunkan solusi dan langkah intervensi boleh diaplikasikan serta disesuaikan dengan situasi yang kita hadapi di masa depan.

"Mendepani cabaran ini, bomba perlu fokus dalam merangka dan melaksanakan segala program serta insiatif yang dirangka dalam Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2030," katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2023 di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Edwin Galan Teruki.

Mengulas lanjut, beliau berkata, salah satu inisiatif menghadapi cabaran itu adalah melalui pembangunan kapasiti dan infra kebombaan.

Pada tahun lalu, katanya, JBPM membuat perolehan peralatan, kelengkapan dan kenderaan baharu berjumlah RM82.62 juta.

Mohammad Hamdan berkata, selain itu lapan Balai Bomba dan Penyelamat baharu beroperasi pada tahun lalu, yang memberi impak signifikan terutama mempercepatkan masa bertindak bagi kes kecemasan.

"Pada tahun ini, sebanyak 12 projek baharu membabitkan pembinaan, naik taraf, perolehan aset dan peralatan kebombaan yang berimpak tinggi dengan kelulusan Bajet Pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM156.4 juta," katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 43 wakil agensi, jabatan, syarikat swasta dan pengamal media menerima sijil penghargaan yang disampaikan Mohammad Hamdan.

Sijil berkenaan adalah tanda penghargaan JBPM kepada setiap agensi dan individu yang terbabit membantu serta menyokong kelangsungan pasukan itu dalam memberi khidmat bakti terbaik kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:32 PM