Noorazura Abdul Rahman


Sik: Cuaca sejuk masih melanda daerah ini namun suhunya sedikit meningkat daripada 18 kepada 20 hingga 21 darjah celcius pagi ini.

Tinjauan di beberapa kampung di Sik mendapati, masih ramai penduduk yang mengenakan pakaian panas untuk mengurangkan rasa sejuk.

Penduduk, Mohamad Wahab, 37, berkata, dia terpaksa memilih untuk keluar ke rumah selepas matahari naik berikutan tidak tahan dengan cuaca sejuk.

"Hari ini pun sejuk juga tapi tak seperti semalam. Semalam, sebelum anak mandi, dia bertanya sama ada saya ada meletak ketulan ais di dalam kolah.

"Saya sentuh air dan ia memang cukup sejuk. Mereka menggigil ketika mandi malah saya hantar mereka ke sekolah dengan kereta akibat cuaca ini," katanya.

Menurut Mohamad yang tinggal di Kampung Lubuk Tualang, dia hanya duduk di rumah selepas menghantar anak sebelum keluar ke kandang lembu apabila matahari naik.

Katanya, seorang daripada anaknya yang berusia 10 tahun tidak ke sekolah hari ini kerana kurang sihat dan batuk akibat cuaca sejuk serta panas terik pada tengah hari.

"Pagi sejuk manakala tengah hari jadi panas terik. Anak-anak mudah jatuh sakit dengan perubahan cuaca ini," katanya yang juga penternak lembu.

Seorang lagi penduduk, Karnasiah Abdul Rahman, 63, berkata, dia terpaksa memakai pakaian lebih tebal berbanding biasa untuk menunaikan solat Subuh di masjid bersama suaminya dengan menunggang motosikal.

"Selalunya saya pakai sarung kaki yang nipis, tetapi hari ini, saya pakai sarung kaki yang lebih tebal dan baju panas.

"Saya akan kenakan pakaian tebal dan sarung kaki di rumah. Selepas betul-betul rasa panas, baru saya akan buka baju panas," katanya.

Menurutnya, keadaan itu sudah menjadi kebiasaan pada setiap tahun dan perubahan cuaca ini berlaku antara hujung Disember hingga Mac.

Sementara itu, bagi pekerja di sebuah kebun timun di Kampung Charuk Damar di sini, Rosnani Harun, 50, dia dapat merasakan perubahan cuaca lebih sejuk berbanding biasa apabila memulakan kerja di kebun berkenaan seawal jam 7 pagi.

"Akhir-akhir ini, cuaca berkabus pada pagi. Semalam memang cukup sejuk. Bagaimanapun, rasa sejuk berkurang apabila saya berjalan untuk memetik timun.

"Semalam, ramai yang bersembang berkaitan cuaca sejuk ini. Ia adalah rahmat daripada Allah SWT," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, suhu sejuk antara 18 hingga 19 darjah celcius di beberapa kawasan di daerah ini menyebabkan penduduk mengenakan pakaian lebih tebal bagi melakukan aktiviti harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 1:18 PM
Penduduk Nur Hafizah Ismail, 33, memakai 'sweater' kepada anaknya, Puteri Aina Sofia Suhaimi, 4, sebelum menghantar ke Tabika KEMAS di Kampung Hujung Bandar, di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Penduduk Nur Hafizah Ismail, 33, memakai 'sweater' kepada anaknya, Puteri Aina Sofia Suhaimi, 4, sebelum menghantar ke Tabika KEMAS di Kampung Hujung Bandar, di sini, hari ini. Foto Noorazura Abdul Rahman