Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang pembantu kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM500 kepada pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu.

Tertuduh, Masum Abdul Halim, 37, yang juga warga Bangladesh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada Pembantu Penguatkuasa (Unit Elite) MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap sebuah kedai runcit yang meletakkan halangan di kaki lima premis tanpa kebenaran MBIP.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kedai runcit berkenaan di Jalan Wira 1, Taman Tan Sri Yaacob di sini, kira-kira jam 5.30 petang, 3 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,00 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi memberitahu mahkamah bahawa kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan jamin.

MASUM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
MASUM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein

Peguam, Mohamad Azulsani Othman yang mewakili tertuduh kemudian memohon mahkamah membenarkan ikat jamin memandangkan anak guamnya sentiasa memberikn kerjasama sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

"Tertuduh sudah berkahwin dengan wanita warga tempatan dan sudah 12 tahun menetap di Malaysia," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 14 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:25 PM