GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang kakitangan dan bekas pengetua sebuah sekolah di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang berkaitan siasatan salahguna kuasa.

Jurucakap SPRM Johor berkata, kakitangan terbabit disyaki menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan lapan tahun lalu.

Beliau berkata, turut ditahan bekas pengetua sekolah berkenaan dan kedua-dua suspek lelaki berusia 41 dan 60 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, difahamkan pada 2015 hingga tahun lalu, kakitangan terbabit menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaraan di sekolah berkenaan kepada syarikat miliknya sendiri.

"Malah bekas pengetua sekolah itu juga dikatakan dengan niat bersama meluluskan kerja-kerja berkenaan kepada syarikat terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya menerusi siaran media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 3:27 PM