MOHAMAD. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mendapat markah tercorot berdasarkan pandangan awam pada sesi permukiman Jemaah Menteri semalam.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, markah tercorot itu didedahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada sesi berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan pandangan orang awam itu kerana masalah bekalan telur termasuk ayam sudah menjadi tumpuan sejak setahun lalu.

Katanya, masalah itu berlaku selama setahun dan bukan berlaku selepas Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara sejak Disember lalu.

"Markah (tercorot) itu bersambung sejak kepimpinan lalu sehingga ke hari ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 MAFS, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Mohamad berkata, pihaknya akan cuba mengatasi isu itu dan buat masa ini, bekalan ayam sudah stabil manakala telur pula dijangka dapat distabilkan tidak lama lagi.

Menurutnya, pada tahun ini MAFS akan menumpukan kepada empat dimensi sekuriti makanan merangkumi ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan seiring dengan objektif Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dan Dasar AgromakananNegara 2021-2030 (DAN 2.0).

Katanya, bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara, MAFS menggariskan lima hala tuju dan fokus iaitu memperkasa industri akuakultur, memperluas penternakan lembu secara fidlot, penanaman jagung bijian, mempertingkat pembabitan golongan belia dalam industri pertanian pintar dan memperkasakan institut latihan pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 4:41 PM