Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pemukiman Jemaah Menteri yang diadakan semalam sudah mula membawa kelainan kerana turut mendengar pendapat pegawai tertinggi serta bekas pegawai kerajaan yang sudah bersara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebahagian besar sesi pemukiman itu membabitkan pendengaran cadangan dan pandangan daripada pegawai berkenaan termasuk Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

"Semalam kita ada pemukiman menteri sepanjang hari tapi ada kelainannya. Bukan saja menteri yang berikan pandangan tetapi kita undang KSN, mantan KPPA dan beberapa ketua jabatan.

"Terlebih awal pada bulan lalu apabila saya tekankan ada keperluan keserasian antara kepimpinan eksekutif negara dan penjawat awam supaya betul-betul erat," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Jemaah Menteri akan mendengar pandangan dan cadangan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun serta Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.

Katanya, menjadi tekadnya untuk meningkatkan kerjasama dengan semua penjawat awam dalam pengurusan dan pentadbiran negara.

Beliau berkata, untuk berlaku adil kepada negara, teladan perlu diambil daripada generasi sebelumnya kerana ia mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

"Selalunya kita ambil dari leluhur bangsa. Tidak akan muncul Perdana Menteri pertama kalau tidak ada kekuatan perjuangan generasi terdahulu yang membawa semangat kebangsaan, yang mengubah sistem, menolak penjajahan," katanya.

ANWAR berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri. FOTO Aizuddin Saad
ANWAR berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 1:22 PM