Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Isu membabitkan pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) adalah perubahan biasa, kataya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, Perdana Menteri berkata, ia tidak membabitkan soal serta khabar angin yang diuar-uarkan mengenai kedudukan KSP, Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon sejak beberapa hari ini.

"Ini haya pertukaran biasa yang juga membabitkan sama ada kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.

"Wewenang (hak dan kuasa) perbincangan diputuskan oleh penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali)," katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai 27 Timbalan Menteri di 26 kementerian dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kedudukan Asri yang dikatakan sudah dicutikan sejak Selasa lalu.

Media sebelum ini melaporkan kedudukan Asri menjadi teka-teki apabila kelibatnya tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Anwar yang juga Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan, Selasa lalu.

Malah, ketika sidang media selepas program taklimat dengan Perdana Menteri yang dihadiri pegawai kanan Kementerian Kewangan, Anwar turut menyebut perbincangan mengenai kedudukan penasihat khas kewangan negara dengan KSP baharu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan siapa KSP baharu itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kedudukan pegawai tertinggi di beberapa kementerian termasuk Ketua Setiausaha yang kini digabungkan menjadi satu, Anwar berkata, ia adalah urusan pentadbiran yang juga dikendalikan Mohd Zuki.

"Urusan pentadbiran KSN akan kendalikan dan uruskan dengan sewajarnya," katanya.

Sebelum ini, dua kementerian iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kini digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

ANWAR (kanan) ketika sidang media pengumuman barisan Timbalan Menteri. FOTO Aswadi Alias
ANWAR (kanan) ketika sidang media pengumuman barisan Timbalan Menteri. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 9:51 PM