Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menerima sebanyak 51,000 biji telur ayam gred A, B dan C untuk diedarkan kepada pengguna bagi menampung bekalan yang berkurangan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menerima sebanyak 51,000 biji telur ayam gred A, B dan C untuk diedarkan kepada pengguna bagi menampung bekalan yang berkurangan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menerima sebanyak 51,000 biji telur ayam gred A, B dan C semalam untuk diedarkan kepada pengguna serta peniaga yang berdaftar dengan agensi berkenaan di negeri ini.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri berkata penghantaran telur daripada pembekal utama di Melaka itu adalah yang pertama tahun ini, selepas ini lebih banyak akan diterima bergantung pada permintaan semasa.

Katanya, telur yang dibekalkan FAMA sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan sumber makanan berkenaan yang terjejas sebelum ini, disebabkan berlakunya kekurangan pengeluaran.

Menurutnya, tahun lalu pihaknya mengedarkan lebih 201,000 telur membabitkan tiga kali penghantaran bermula pada 16 November lalu.

"Kali ini pengguna dan peniaga perlu datang sendiri ke pejabat FAMA Pahang untuk mendapatkan telur, minggu depan jualan di Pasar Tani Rompin dan Pasar Tani Kekal Pekan akan dilakukan.

"Sebelum ini kita mengagihkan bekalan telur kepada lebih 15 penjual terdiri daripada usahawan bimbingan FAMA seperti AgroBazar Rakyat, Pusat Khidmat Pemasaran FAMA (PKPF), peniaga Pasar Tani, pemborong, pekedai runcit dan FAMA daerah," katanya, di sini semalam

Tambahnya lagi, sebelum ini sambutan yang diterima terhadap telur yang dibekalkan amat menggalakkan, dalam masa beberapa jam sahaja telur habis diagihkan kepada usahawan termasuk pengguna.

Saiful berkata, telur dijual mengikut harga kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), usahawan berpuas hati apabila mendapat bekalan telur pada harga kawalan.

Beliau berkata, pengguna yang ingin mendapatkan telur daripada FAMA boleh membeli secara dalam talian, baucar RM10 diberikan kepada mereka yang membeli RM30 ke atas bagi 1,000 pembeli pertama.

"Kita akan terus mengedar telur ayam selagi ada permintaan daripada pengguna di negeri ini, proses membawa masuk telur ayam akan dilakukan secara berperingkat, jumlahnya bergantung pada permintaan daripada usahawan.

"Kita akan bekerjasama dengan usahawan bagi mendapatkan maklumat berkaitan permintaan daripada pengguna sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya yang berharap isu berkaitan kekurangan telur ayam dapat diselesaikan tahun depan.

Saiful menambah, selain telur gred A, B dan C pihaknya turut membekalkan telur omega tiga pada harga kawalan, sambutan yang juga menggalakkan.

Sementara itu, beberapa peniaga yang ditemui mendakwa mereka berpuas hati apabila berpeluang mendapatkan bekalan telur daripada FAMA dengan harga kawalan.

Bekalan telur yang diterima sekurang-kurangnya dapat menampung permintaan daripada pengguna yang sebelum ini sukar mendapat bekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 12:41 PM