TAKIYUDDIN berucap pada  Muktamar Tahunan PAS ke-66. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TAKIYUDDIN berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-66. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Tanggungjawab pemimpin Pas kini semakin berat dengan 'audien' lebih meluas terutama mereka yang diamanahkan dengan jawatan dalam kerajaan dan agensi, selepas berlakunya pertukaran kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata, tanggungjawab pemimpin Pas kini bukan kepada ahlinya semata-mata, sebaliknya untuk semua orang kerana parti itu kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Katanya, pimpinan dan ahli Pas juga perlu berazam membina negara yang baik selain cenderung kepada permuafakatan, kerjasama dan sikap harmoni dalam perkara kebajikan.

"Ia terbukti apabila parti itu berjaya merubah landskap politik Melayu Islam melalui wawasan penyatuan ummah sehingga termeterai Piagam Muafakat antara Pas dan Umno yang genap setahun esok.

"Baru-baru ini, Pas juga setuju menganggotai Perikatan Nasional (PN) yang disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa parti lagi.

"Pas atas dasar perjuangan terus bertoleransi, namun sedia berkeras demi memastikan berjayanya sebuah muafakat yang jujur, tidak bermuslihat, kerjasama yang mementingkan ummah dan bukannya habuan peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-66, di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sejarah tercatat buat kali kedua apabila Pas menjadi sebahagian Kerajaan Pusat.

Secara jujurnya, beliau berpandangan keadaan membawa parti itu ke Putrajaya bukan sesuatu dirancang sepenuhnya walaupun sudah merasakan akan berlaku perubahan kerajaan.

"Ia berdasarkan petanda yang dilihat seperti kontradiksi dalam Pakatan Harapan (PH), idealisme politik yang tidak berpijak pada kenyataan, sikap keras dan gelojoh terhasil daripadanya yang menjadi faktor jatuhnya PH selepas 22 bulan mentadbir.

"Pada masa sama, ia pasti disumbang oleh tindakan hasil kesedaran rakan kita dari Bersatu dan PKR yang bertindak keluar PH, lantas disambut oleh kita termasuk kepimpinan Pas di pihak pembangkang ketika itu. Lalu, terjadilah apa yang terjadi.

"Atas sikap tenang, waras selain kesediaan berlebih kurang dan komitmen asas masyarakat, maka lahirlah kerajaan kita bersama iaitu kerajaan PN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 11:29 AM