Datuk Seri Masidi Manjun
Datuk Seri Masidi Manjun
BERNAMA

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat sokongan majoriti lebih daripada cukup daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), dakwa Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun.

Justeru, beliau berkata, tiada merit terhadap dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai 'locus standi' atau hak di sisi undang-undang untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Masidi berkata, Hajiji dan semua bekas Adun Bersatu yang keluar daripada parti itu bulan lalu semuanya adalah ahli terus GRS.

"Perlu dipatuhi bahawa Perlembagaan Negeri Sabah direka untuk mewujudkan kepastian dan kestabilan politik Sabah.

"Adalah menjadi asas kepada perintah perlembagaan Sabah bahawa Tuan Yang Terutama (TYT) (Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin) tidak diheret ke kancah politik, pertikaian atau perebutan kuasa.

"Saya berharap pemimpin politik tertentu mematuhi perkara ini dan memberi penghormatan kepada TYT dan pejabat beliau.

"Oleh itu, amalan membawa surat akuan berkanun yang ditandatangani kepada istana baru-baru ini sebagai bukti keyakinan Adun terhadap kerajaan adalah tidak diperlukan dan harus dihentikan," katanya pada kenyataan hari ini.

Masidi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Bung Moktar yang dilihat cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan berhubung keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Menurut Bung Moktar, Hajiji tidak layak menjadi Ketua Menteri berdasarkan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Malam tadi, Umno dan BN Sabah mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Malam tadi juga, tiga Adun Sabah daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyatakan pendirian bahawa Hajiji tidak lagi mendapat sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri Sabah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 11:05 AM