LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Pemandu lori berusia 41 tahun yang memandu secara lawan arus di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua ditahan reman selama empat hari.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurzihan Abdul Rehman di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini.

Ia bagi membolehkan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki itu ditahan pada jam 4.40 petang semalam selepas terbabit dalam kemalangan akibat memandu secara melawan arus.

Ketika ditahan, lelaki itu didapati di bawah pengaruh alkohol.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang semalam membabitkan sebuah lori dengan dua kereta.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Apabila tiba kawasan rehat dan rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori terlepas susur ke PTP.

Pemandu lori memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan itu.

Kejadian mengakibatkan pemandu Mercedes Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki manakala pemandu kereta Nissan serta pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 2:38 PM