TAN (tengah)  menunjukkan poster yang ditampal along di rumahnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
TAN (tengah) menunjukkan poster yang ditampal along di rumahnya. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Kajang: Enam beranak hidup dalam trauma kerana diganggu 'konco' ceti haram atau along selepas alamat rumah mereka dipercayai digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk membuat pinjaman wang.

Tukang jahit, Tyler Tan, 53, berkata, gangguan enam konco ceti haram itu bermula pada 28 Disember lalu, mendakwanya meminjam sejumlah wang, namun gambar yang ditunjukkan individu itu kepada isterinya bukan dirinya.

Menurutnya, ketika itu dia tiada di rumah kerana berkerja dan isterinya sudah menjelaskan lelaki di dalam gambar itu bukan dirinya, namun kumpulan terbabit dikatakan tidak mempercayainya dan berterusan menuntut hutang itu.

"Jiran juga membantu isteri dan turut menghubungi polis sebelum akhirnya mereka beredar tetapi semalam mereka datang lagi dan menampal beberapa poster gambar lelaki itu yang ada cat merah di pagar dan dinding rumah saya.

"Malah, poster sama turut ditampal di dinding (tembok) rumah jiran. Saya sudah tinggal di rumah itu sejak 30 tahun lalu dan biarpun sudah berulang kali isteri beritahu lelaki itu bukan saya dan nama juga tidak sama tetapi mereka masih tetap mendakwa saya yang berhutang," katanya pada sidang media di sini,hari ini.

Tan yang tinggal di Taman Sea, Petaling Jaya berkata, dia kini bimbang kumpulan along berkenaan akan bertindak lebih agresif termasuk menyimbah cat merah di rumahnya selepas ini dan tindakan mereka mengganggu emosi mereka.

"Saya yakin mereka salah orang dan ada individu yang menggunakan alamat rumah kami. Saya memang tidak ada membuat pinjaman termasuk dengan along," katanya yang membuat laporan polis di Petaling Jaya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan DAPSY Selangor, Lee Wen Bin berkata, mereka berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pihak terbabit supaya keadaan tidak menjadi semakin serius.

Katanya, kejadian seumpama itu amat dikesali biarpun mangsa sudah memberitahu dia bukan individu yang dicari kumpulan itu, malah gambar diedarkan juga tidak sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 12:21 PM