KEADAAN rumah sewa yang ditinggalkan asnaf di Tanjong Karang. FOTO tular.
KEADAAN rumah sewa yang ditinggalkan asnaf di Tanjong Karang. FOTO tular.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kesal dengan tindakan seorang asnaf meninggalkan rumah sewa di sebuah kawasan di Tanjong Karang dalam keadaan kotor dan rosak.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim, berkata pihaknya terkesan dengan satu hantaran berhubung perkara itu di laman Facebook, baru-baru ini.

"Tindakan asnaf itu menganiaya pemilik rumah sewa terbabit yang menyebabkan asnaf lain sukar untuk menyewa pada masa hadapan.

"Sehubungan itu, LZS ingin mengingatkan semua asnaf yang menerima bantuan ini untuk amanah dan bertanggungjawab menjaga rumah sewa diduduki," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norajun Ainun berkata, pihaknya menyarankan pemilik rumah berkenaan membuat aduan rasmi ke LZS bagi menghentikan bantuan sewa rumah tersebut memandangkan penyewa tidak lagi menetap di situ.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 16,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor menerima bantuan sewa rumah dari LZS.

"Bantuan berbentuk bulanan ini disalurkan terus ke akaun pemilik rumah sewa bagi menyantuni keperluan asas keluarga asnaf di negeri ini," katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook memaparkan beberapa gambar sebuah rumah yang disewa asnaf LZS ditinggalkan penyewa dalam keadaan kotor dan tidak terurus.

Hantaran itu kemudian mendapat kecaman daripada ramai pihak berikutan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan penyewa terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 7:35 PM