LAPORAN portal berita Harian Metro pada 8 November lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro pada 8 November lalu.
Redzuan Muharam


NASIB model dan bekas pramugara, Muhammad Joharee Johari, 29, yang mengalami jangkitan kuman pada injap jantung mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LSZ, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, untuk permulaan, pihaknya akan menyalurkan bantuan berdasarkan syarat dan kelayakan bergantung kepada keperluan.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu berdasarkan maklumat diterima daripada Skuad Saidina Umar (SSU) yang menziarahi Muhammad Joharee di Hospital Serdang, Selangor, baru-baru ini.

“Hasil siasatan mendapati Mohammad Joharee kini sudah berhenti kerja kerana mengambil cuti sakit panjang.

“Sehubungan itu, LZS akan menyalurkan bantuan berdasarkan syarat dan kelayakan sekiranya beliau perlu menjalani sebarang pembedahan atau prosedur perubatan lain.

“Kes beliau dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norajun berkata, LZS menyalurkan sumbangan zakat melalui Tabung Kebajikan Perubatan Hospital kepada 18 hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, melalui tabung itu, pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani di hospital boleh memohon bantuan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan hospital.

“Antara mereka yang layak memohon termasuk pesakit menghidap penyakit kronik dan disahkan oleh pakar perubatan di samping kes kecemasan memerlukan bantuan segera,” katanya.

Pada 8 November lalu, portal berita Harian Metro melaporkan kisah Muhammad Joharee yang terlantar di hospital selepas injap jantungnya terkena jangkitan kuman.

Penyakit berkenaan menyebabkan Muhammad Joharee dimasukkan ke pusat perubatan swasta di Subang Jaya pada 3 November lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang, empat hari kemudian.

Berita berkaitan

'Doakan saya cepat sembuh...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 7:19 PM