Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Ibu tunggal warga Indonesia memberi alasan sedang 'mengurut' rakan sekerjanya ketika dicekup berkhalwat dengan pemuda Bangladesh di sebuah hotel di Rembia, dekat sini, awal pagi, hari ini.

Pasangan operator kilang masing-masing berusia 32 dan 25 tahun dicekup jam 3 pagi selepas gagal mengemukakan dokumen pengesahan perkahwinan.

Ketika disoal siasat, wanita berasal dari Bandung, Indonesia itu tiba-tiba sebak dan memberi alasan dia hanya mengurut rakan sekerjanya itu yang baru dua hari dikenali.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan itu antara 12 individu berusia antara 21 hingga 56 tahun yang dicekup berkhalwat dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2023.

Menurutnya, turut ditahan di hotel itu adalah pasangan berusia berusia 24 dan 20 tahun kerana disyaki berkhalwat.

"Hasil soal siasat, lelaki itu memberi alasan hanya menghantar teman wanitanya yang bekerja sebagai juruwang di kedai alat tulis di Kuala Lumpur untuk bermalam di hotel itu selepas bersiar-siar dan melihat pertunjukan bunga api.

"Dia yang bekerja sebagai pengaturcara komputer di Selangor juga mengatakan hanya menolong mengangkat beg pasangannya dan tidak membawa pakaian lain kerana tinggal di daerah ini.

"Penguat kuasa JAIM menerangkan tindakan mereka yang bukan muhrim berkurung di dalam bilik adalah satu kesalahan sebelum ditahan untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 53(1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Operator kilang bersama pasangannya ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Simpang Ampat. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Operator kilang bersama pasangannya ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Simpang Ampat. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 3:34 PM