Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan iklan di media sosial yang kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu ke kelas dan ujian memandu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, iklan berkenaan menarik perhatiannya kerana rancak diiklankan secara terang-terangan di media sosial meskipun salah di sisi undang-undang.

"Niat iklan itu dibuat adalah tidak baik kerana mengelirukan rakyat dengan mengatakan mampu memiliki lesen tanpa perlu hadir ke sekolah memandu.

"Sindiket ini turut menggunakan gambar profil doll girl bagi menarik perhatian pengguna media sosial untuk mendekati mereka," katanya pada sidang media Operasi Sepadu (Ambang Tahun Baharu) di Plaza Tol Gombak (arah Bentong), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan dan Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail.

Zailani berkata, pihaknya menafikan mengenai kewujudan sindiket jual beli lesen kenderaan tanpa perlu pergi ke sekolah memandu.

Katanya, masyarakat perlu cakna dengan sindiket ini jelas hanya mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa kemudian melarikan diri dengan duit yang dibayarkan kepada mereka.

"Untuk tindakan lanjut, kami akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi menjejaki mereka melalui pautan yang dikongsikan.

"Pautan yang dikenal pasti akan 'diputuskan' dan kami akan berusaha mendapatkan individu yang bertanggungjawab menipu pengguna media sosial dengan taktik ini," katanya.

Zailani berkata, sindiket ini menyedari dipantau pihak berkuasa, jadi pihak terbabit sering menukarkan pautan antara setiap tiga dan enam bulan.

Sehubungan itu, kes penipuan menawarkan lesen memandu tanpa perlu ke kelas dan ujian memandu ini akan diserahkan kepada KKD dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 9:37 AM