GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan enam individu di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail di sini, hari ini selepas mereka dipercayai menganggotai sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam serbuan pada 4.10 pagi itu, pihaknya turut merampas 1.06 kilogram (kg) dadah methamphetamine dan 6.7 gram kanabis dianggarkan bernilai RM42,720.

"Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM3,000 dipercayai hasil dari jualan dadah tersebut.

"Semua individu yang ditahan berusia 17 hingga 41 tahun dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Keenam-enam individu terbabit kini ditahan reman selama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 11:29 PM