DADAH yang ditinggalkan di tepi jalan. FOTO ihsan Polis
DADAH yang ditinggalkan di tepi jalan. FOTO ihsan Polis
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Polis menemui dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM257,075 yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Bukit Jong di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu menerima makluman penemuan dadah oleh empat anggota Trafik Kuala Terengganu di kawasan berkenaan.

"Sepasukan anggota trafik membuat rondaan di susur masuk menghala ke Plaza Tol Gemuruh dari arah Kuala Terengganu menemui lima bungkusan plastik hitam dalam keadaan mencurigakan di atas tanah di tepi penghadang jalan.

"Hasil pemeriksaan ke atas lima bungkusan plastik hitam setiap satu mengandungi satu kotak di dalamnya berisi 101 bungkusan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, keseluruhan rampasan barang kes dianggar seberat 102.83 kilogram (kg).

"Dipercayai dadah ini ditinggalkan sementara oleh penjenayah sementara menunggu 'snap check' oleh polis trafik yang bertugas di kawasan laluan terbabit," katanya.

Menurut Rohaimi lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 5:40 PM