Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jabatan Perkhidmatan Awam.
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) disaran menjalankan temu duga kepada pegawai perubatan yang selesai menjalani latihan pegawai perubatan siswazah (housemanship) bagi membantu mereka menentukan laluan kerjaya dan terus berkhidmat dalam negara.

Ia antara langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan supaya golongan itu dapat melihat masa depan kerjaya mereka di Malaysia dan tidak berhijrah ke luar negara.

Pro Naib Canselor Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Prof Dr Zabidi Hussin berkata, ketika ini, tiada sistem temu duga yang dijalankan kepada pegawai perubatan selepas tamat housemanship selama tiga tahun bagi menentukan minat mereka, sama ada mahu menyambung pengajian dalam bidang kepakaran atau bidang lain, terutama jika tidak berjaya mendapat lantikan tetap atau kontrak.

"JPA perlu melihat semula isu ini. Selepas tamat saja housemanship, pegawai perubatan ini perlu ditemu duga bagi mengetahui apa laluan kerjaya pilihan dan perancangan masa depan mereka.

"Jika ada yang tidak mahu menyambung pengajian dalam kepakaran, berikan mereka kebebasan. Mungkin ada yang berminat dalam perniagaan, maka mereka boleh menyambung pengajian dalam bidang itu kerana dengan kelayakan yang diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC), mereka boleh memegang jawatan pentadbiran dalam bidang perubatan.

"Sediakan tajaan atau pinjaman mudah kepada mereka kerana ini adalah salah satu cara kerajaan dapat mencipta laluan kerjaya untuk pegawai perubatan ini supaya mereka tidak putus asa dan memberi galakan untuk terus berkhidmat dalam negara," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas isu penghijrahan doktor tempatan, termasuk pakar ke luar negara yang berlaku sejak sekian lama.

Baru-baru ini, bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, mendedahkan Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya 30 graduan perubatan terbaik dari universiti itu setiap tahun, selepas mereka memilih untuk berkhidmat di luar negara, terutama Singapura sebaik menamatkan pengajian.

Ia dilihat satu 'kerugian' besar kepada institusi pendidikan tempatan kerana kos melatih setiap pelajar perubatan dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta.

Dr Adeeba dipetik berkata, penghijrahan itu berlaku disebabkan kegagalan kerajaan menyelesaikan pelbagai isu dalaman kakitangan penjagaan kesihatan dan pegawai perubatan selain ketiadaan laluan latihan yang jelas.

Mengulas lanjut, Dr Zabidi yang juga anggota Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) turut meminta kerajaan menyambung pelantikan secara kontrak kepada lebih ramai pegawai perubatan yang tamat housemanship, bukan hanya kira-kira 10,000 orang saja seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

"Jumlah 10,000 orang ini tidak banyak kerana kita mengeluarkan ribuan graduan perubatan setiap tahun. Apabila mereka mendengar perkara ini, mereka terus berfikir untuk berhijrah ke luar negara seperti Singapura, Australia, Brunei dan United Kingdom (UK).

"Jadi, sekarang ini, mereka menunggu masa saja. Jika tidak mendapat lantikan tetap, mereka akan keluar dan ini adalah "brain drain" yang sangat besar," katanya.

Mengenai penghijrahan doktor tempatan ke Singapura, Dr Zabidi mengakui, selain tawaran gaji yang lebih baik, iaitu kira-kira S$4,000 (RM13,000) bagi pegawai perubatan yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun, negara itu juga menawarkan program lepasan graduan kepada pegawai perubatan asing yang berkhidmat di sana.

"Di Malaysia, tempat untuk menyambung pengajian dalam bidang kepakaran ini terhad kepada kurang 1,000 tempat setahun. Pegawai perubatan yang tamat latihan ini boleh mengambil program kepakaran yang ditawarkan UK, tapi yurannya sangat tinggi.

"Ketika ini, kita mempunyai kurang daripada 13,000 pakar perubatan di Malaysia dan perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita memerlukan 28,000 pakar menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:27 PM