SUSPEK memecahkan cermin stesen minyak sebelum dia ditahan di dalam premis itu di Batu 2, Jalan Seremban-Port Dickson, pagi semalam. FOTO ihsan polis.
SUSPEK memecahkan cermin stesen minyak sebelum dia ditahan di dalam premis itu di Batu 2, Jalan Seremban-Port Dickson, pagi semalam. FOTO ihsan polis.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah stesen minyak di Batu 2, Jalan Seremban-Port Dickson, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang bekerja di syarikat penggera keselamatan memaklumkan kejadian itu pada 3.27 pagi semalam.

"Bertindak atas hebahan itu, anggota kereta peronda dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai, anggota mendapati cermin kaca stesen minyak itu dipecahkan dan pemeriksaan mendapati suspek masih berada di dalam kedai itu.

"Polis terus menangkap suspek berusia 29 tahun itu yang sedang bersembunyi di bawah meja kaunter," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM500, tukul besi, sarung tangan, topi, beg pinggang, pakaian dan motosikal kepunyaan suspek.

Menurutnya, susulan itu polis memeriksa sebuah rumah pernah diduduki suspek di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang dan turut merampas barang dipercayai hasil daripada pecah kedai dan pecah stesen minyak.

"Antara barangan dirampas seperti rokok pelbagai jenama, telefon bimbit, i-Pad, perisa vape, gelang tangan, cincin hiasan, kad memori, mikrofon, pelindung skrin telefon dan cermin mata.

"Susulan penahanan suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan lima kes di Port Dickson, satu kes di Seremban manakala dua lagi kes di daerah Nilai.

"Ia membabitkan kes pecah stesen minyak dan kedai yang menyebabkan kerugian berjumlah RM69,713," katanya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek melakukan jenayah secara solo sejak Oktober 2020 sehingga Ogos tahun ini.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah lampau dan keputusan ujian air kencing negatif.

Katanya, suspek terbabit direman lima hari bermula 24 sehingga 28 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:13 PM