Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Majlis sambut menantu di Kampung Bukit Abal, di sini, terpaksa berlangsung tanpa pengantin perempuan apabila rombongan berkenaan terkandas akibat banjir.

Pengantin lelaki, Syahiran Shaari, 26 berkata, sepatutnya isterinya, Siti Nabila Sukri, 26 dan rombongan dari Tanah Merah, dekat sini, tiba pada 3 petang.

Namun, menurutnya, sehingga lewat petang rombongan tidak sampai kerana beberapa lokasi laluan dinaiki air selepas bergerak dari rumah mereka sejak 2 petang.

"Isteri memaklumkan mereka terpaksa mengharungi beberapa lokasi yang dilimpahi air banjir menyebabkan mereka kesukaran untuk sampai ke rumah saya.

"Jadi, kami terpaksa menyebabkan majlis diteruskan tanpa pengantin perempuan.

"Bagaimanapun setakat dimaklumkan tadi, isteri memberitahu rombongan cuba melalui kawasan lain iaitu laluan Salor, Pasir Mas," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Syahiran yang juga anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, majlis perkahwinan di Tanah Merah diadakan Jumaat lalu dan ketika itu banjir belum melanda Kelantan.

"Setakat ini saya tak tahu bila rombongan pengantin akan sampai, apapun saya anggap ini cabaran bila buat majlis di musim tengkujuh," katanya.

Di kampung sama, beberapa lokasi turut dilimpahi air sehingga satu meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustafor berkata, hujan berterusan menyebabkan beberapa kampung dinaiki air dan jumlah mangsa banjir dijangka terus meningkat.

Katanya, sehingga kini lima pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, SK Wakaf Raja, SK Kamil 1, Dewan Sri Kamil dan SK Sungai Petai.

"Kampung yang terjejas pula membabitkan Kampung Daram Buaya, Gong Cokoh, Tasek, Sungai Petai, Sungai Kelong, Panggung tiga daerah, Surau dan Temila," katanya.

Beliau berkata, banjir turut mengakibatkan fenomena kepala air di lokasi rekreasi di Jeram Mengaji namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana lokasi itu sudah ditutup kepada orang awam sejak awal Disember lalu selepas amaran monsun timur laut (MTL).

Pengantin lelaki, Syahiran Shaari,26 meneruskan perkahwinan tanpa pengantin perempuan yang terkandas akibat banjir di Kelantan. FOTO Nor Amalina Alias
Pengantin lelaki, Syahiran Shaari,26 meneruskan perkahwinan tanpa pengantin perempuan yang terkandas akibat banjir di Kelantan. FOTO Nor Amalina Alias

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 7:11 PM