Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Walaupun negeri ini dilanda Monsun Timur Laut (MTL), namun bekalan ikan masih mencukupi dan pengguna masih mudah mendapatkannya.

Bagaimanapun harga ikan pada musim MTL ini sedikit berbeza selepas nelayan di negeri ini tidak dapat melakukan aktiviti penangkapan ikan akibat laut bergelora.

Tinjauan peniaga ikan di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) di sini, rata-ratanya memaklumkan buat masa sekarang boleh menjalankan perniagaan seperti biasa.

Seorang peniaga, Razali Mohd Ariffin, 54, berkata susulan nelayan di negeri ini tidak dapat ke laut akibat MTL, kebanyakan peniaga memperoleh bekalan dari luar Terengganu.

Dia yang tinggal di Kampung Gelugor Haji Tahir, di sini berkata kebanyakan bekalan datang dari Perak, Kedah dan Johor Bahru.

"Saya difahamkan nelayan di Kedah dan Perak masih boleh lakukan aktiviti menangkap ikan berbanding nelayan di Terengganu yang sudah seminggu lebih tidak ke laut.

"Jadi, pada musim MTL ini harga ikan juga ada sedikit naik dan ia tidak memberi kesan kepada pembeli. Kenaikan ikan ini bergantung kepada jenis dan saiz ikan," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Razali berkata, setakat ini di PBKP pembeli boleh mendapatkan harga ikan murah, namun ada kalangan pengguna masih mempertikai yang mereka menjual dengan harga tinggi.

Seorang lagi peniaga ikan, Mazlan Awang, 61, berkata biasanya pada musim tengkujuh ikan yang dijual bercampur ikan segar dan ikan sejuk beku.

Dia yang lebih 40 tahun berniaga ikan berkata, sejak MTL ini, harga ikan naik antara 10 hingga 30 peratus yang mana ikan selayang dijual RM12 hingga RM14 sekilogram (kg) berbanding sebelum ini RM7 hingga RM9 .

"Aya segar dijual RM14 manakala sejuk beku RM12 manakala ikan kerisi sedang RM15 dan bersaiz besar RM15 hingga RM17.

"Selain itu, ikan selar RM20 pada hari ini berbanding RM18 manakala ikan cencaru RM12 dan sebelum ini hanya RM8 hingga RM10," katanya.

Seorang peniaga kedai makan, Kamariah Sulong, 55, berkata dia setiap hari membeli ikan aya untuk dijadikan lauk di kedainya di Batas Baru, di sini.

Dia yang tinggal di Kampung Bukit, Chendering tidak menafikan pada musim MTL ini harga ikan yang dibeli naik RM2 untuk satu kg.

"Sebelum ini saya boleh dapatkan harga RM6 hingga RM7, namun hari ini RM10. Biarpun sedikit terasa, tapi saya faham dengan situasi hari ini nelayan tidak dapat turun ke laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 2:56 PM