Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Semua parti dan gabungan politik yang memasuki perjanjian persefahaman kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, komitmen mereka adalah untuk menyokong sebuah kerajaan yang stabil.

Katanya, beliau berharap ia akan berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.

"Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya adalah untuk menyokong kerajaan yang stabil, harapnya sehingga penggal berakhir," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar berkata, tiada parti yang mempunyai majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Justeru, nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah rasional serta persefahaman dapat dicapai berdasarkan kepada prinsip yang dikongsi bersama.

Atas dasar itu, Anwar berkata, tiada alasan untuk bercakap mengenai kerapuhan kerjasama politik berkenaan atau masalah.

"Saya fikir, saya sangat berpuas hati," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN berpendapat, permuafakatan itu yang diterjemahkan dalam bentuk persefahaman yang ditandatangani turut menjawab persoalan mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi, orang Melayu, Bahasa Melayu dan institusi Raja-raja Melayu.

"Empat prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan ini jadi persetujuan utama kepada perjanjian ini.

"Kedua, kerajaan stabil mesti diwujudkan. Kita harus berikan keutamaan kepada kesejahteraan kepada rakyat, soal menjana ekonomi mengikut pertumbuhan yang disasarkan.

"Harapan kepada Perdana Menteri tinggi, dokongan yang menjadi wadah kepada BN dan tentunya rakan-rakan lain untuk mendokong, kepada Anwar, yang turut diberikan dokongan kuat dari parti yang telah ditandatangani," katanya.

Beliau berkata, ia sudah tentu akan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk terutama pada sidang Dewan Rakyat.

Terdahulu, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH petang ini, sebagai mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan Setiausaha Agong gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).

Perjanjian persefahaman kerjasama itu ditandatangani kira-kira jam 3.15 petang, hari ini.

Anwar bercakap pada sidang media Majlis Menandatangani Dokumen Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar bercakap pada sidang media Majlis Menandatangani Dokumen Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:17 PM