SUSPEK ditahan selepas mengamuk dan mengugut membunuh suami sepupunya menggunakan sebilah kapak. FOTO Melvin Joni.
SUSPEK ditahan selepas mengamuk dan mengugut membunuh suami sepupunya menggunakan sebilah kapak. FOTO Melvin Joni.
Melvin Joni


Padawan: Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan mengugut membunuh suami sepupunya menggunakan sebilah kapak.

Kejadian dilaporkan berlaku di hadapan rumah mangsa di Kampung Nyabut, Trombol, Jalan Telaga Air di sini kira-kira pukul 9.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata susulan laporan yang dibuat sepupu suspek (isteri mangsa), sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padawan menangkap lelaki yang berusia 31 tahun itu di rumahnya di Lorong 2, Kampung Nyabut Trombol, kira-kira pukul 6.30 petang hari ini.

"Turut dirampas senjata iaitu sebilah kapak yang digunakan suspek untuk menakutkan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Abang Zainal, siasatan awal mendapati suspek yang bersenjatakan sebilah kapak datang ke rumah pengadu yang bekerja sebagai pembantu kesihatan dan mengugut membunuh suaminya.

Katanya suspek turut berteriak memanggil nama suami pengadu yang berada dalam rumah.

Namun, beliau berkata oleh kerana bimbang sesuatu berlaku, suami pengadu tidak menyahut panggilan suspek dan hanya berdiam diri di dalam rumah saja.

Katanya punca suspek mengamuk adalah kerana tidak berpuas hati apabila dituduh membuang sampah di kawasan rumah pengadu.

Beliau menambah turut berada di tempat kejadian adalah ibu dan bapa suspek yang cuba menenangkannya.

"Semasa suspek melibas kapak, bapanya cuba merampas kapak dari tangannya menyebabkan mengalami luka di bahagian tapak tangan.

"Mangsa mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak dan tiada kecederaan serius," katanya.

Abang Zainal berkata suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 8:53 PM