KENYATAAN akhbar MCMC.
KENYATAAN akhbar MCMC.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan sebanyak 112 kompaun bernilai RM4,696,000 sepanjang tahun ini.

MCMC dalam kenyataan berkata, ia membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta perundangan subsidiari di bawah akta itu.

Menurutnya, daripada jumlah itu,106 kompaun dikeluarkan terhadap pemegang lesen MCMC terdiri 53 kompaun bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Penomboran) 2016 iaitu kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik.

"Sebanyak 27 kompaun bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

"Sebanyak 17 kompaun bagi kesalahan mengikut Seksyen 105 (3) AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi standard mandatori," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lima kompaun bagi kesalahan mengikut Seksyen 242 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen.

"Dua kompaun bagi kesalahan mengikut Seksyen 127 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi Guidelines on Registration of End-Users of Prepaid Public Cellular Services.

"Dua kompaun bagi kesalahan mengikut Seksyen 126 AKM 1998 iaitu menawarkan perkhidmatan tanpa lesen," katanya.

Selain itu, MCMC turut mengeluarkan enam kompaun terhadap pihak bukan pemegang lesen seperti lima kompaun bagi kesalahan mengikut Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui.

"Satu kompaun bagi kesalahan mengikut Seksyen 235 AKM 1998 iaitu menyebabkan kerosakan kepada kemudahan rangkaian.

"Tindakan yang diambil ini bertujuan memastikan semua pihak khususnya pemegang lesen agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan yang bermutu kepada pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:09 PM