LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Masuk laluan bertentangan dan hilang kawalan. Itu yang berlaku kepada mangsa nahas dalam konvoi 40 motosikal di Keramat Pulai dekat Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha FZ150i (S) ditunggang mangsa berusia 47 tahun dari arah Ipoh menghala Cameron Highlands hilang kawalan di selekoh lalu terjatuh masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, lori tanpa muatan dipandu seorang lelaki berumur 31 tahun dari arah Cameron Highlands menghala Ipoh itu bagaimanapun sempat brek ketika bergerak lurus di laluannya serta sempat mengelak motosikal mangsa.

Katanya, namun bagaimanapun penunggang terbabit yang sejurus itu jatuh bersama motosikal ditunggangnya terus menggelongsor ke bawah lori terbabit.

"Punca kemalangan dipercayai kerana motosikal mangsa maut hilang kawalan dan terbabas lalu masuk ke laluan lori yang datang dari arah bertentangan. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia disyaki akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Keadaan jalan semasa kejadian adalah kawasan selekoh dua hala dengan satu lorong sehala dan keadaan jalan basah ketika itu," katanya sewaktu dihubungi malam ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa akan menjalani proses bedah siasat pada esok iaitu selepas keputusan ujian saringan Covid-19.

Pemandu lori bagaimanapun tidak cedera.

Terdahulu, media melaporkan perjalanan konvoi 40 motosikal bertukar tragedi apabila seorang penunggang maut manakala seorang lagi cedera apabila motosikal dinaiki mereka terbabit nahas hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 9:57 PM