KETIKA operasi pemindahan gajah.
KETIKA operasi pemindahan gajah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Rekod menunjukkan berlaku tiga kes serangan gajah mengakibatkan kecederaan terhadap manusia yang pernah berlaku di Johor, Perak dan Pahang tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, konflik manusia dan gajah ini sukar diatasi sepenuhnya berikutan wujudnya faktor 'menolak' yang menyebabkan haiwan ini keluar dari habitat asal.

Menurutnya, penerokaan kawasan baharu, gangguan habitat asal dan kekurangan makanan adalah punca utama kumpulan gajah liar menceroboh kawasan penempatan penduduk.

"Kejadian serangan gajah menyebabkan seorang wanita Orang Asli maut di Kampung Simoi Baru, Pos Betau dekat Kuala Lipis, Pahang awal pagi semalam tidak akan berlaku tanpa sebab munasabah.

"Dakwaan kononnya Perhilitan tidak mengambil langkah sewajarnya berhubung isu gangguan gajah liar di kawasan itu adalah tidak benar. Malah anggota Perhilitan pernah menangkap gajah liar di kawasan sama pada Januari 2021," katanya kepada Harian Metro, tadi,.

Menurutnya, operasi memindahkan gajah liar bukanlah tugas mudah berikutan ia membabitkan penggunaan gajah denak, jalan sesuai bagi membolehkan lori dibawa masuk, keadaan muka bumi, serta keselamatan petugas Perhilitan.

"Anggota Perhilitan sudah berada di Kampung Simoi Baru sejak awal November lalu bagi memantau keadaan susulan aduan diterima.

"Sebelum ini hanya sekitar seekor hingga tiga ekor gajah liar ditemui berkeliaran. Namun terbaru kami mendapati jumlah gajah ini meningkat hampir 20 ekor. Mereka bergerak dalam kumpulan besar," katanya.

Abdul Kadir berkata, walaupun gajah liar terbabit sudah dihalau memasuki habitat asal namun faktor guna tanah tidak terancang dan kekurangan makanan serta garam galian menyebabkan haiwan liar itu semakin kerap menceroboh masuk kawasan penempatan.

"Sepanjang tahun ini sahaja, Perhilitan tidak menang tangan apabila terbabit dengan 30 operasi memindahkan gajah di seluruh Malaysia terutama di Perak, Johor, Terengganu dan Pahang. Hampir setiap minggu kami perlu menguruskan krisis ini bagi memastikan ia tidak terus berlarutan," katanya.

Abdul Kadir berkata, sebanyak 18 Sistem Pagar Elektrik Gajah (Speg) dibina sejak tahun 2009 di Semenanjung Malaysia sebagai inisiatif Perhilitan untuk pengurusan konflik gajah dan manusia.

"Speg sepanjang 305.6 kilometer (km) melibatkan kos mencecah RM13.4 juta sudah dbina setakat ini.

"Speg bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan perkampungan dan ladang penduduk seterusnya dapat mengurangkan kadar aduan konflik manusia dan gajah," katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor meminta Perhilitan mengambil tindakan segera mengatasi isu serangan gajah di Kampung Simoi Baru Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang bagi mengelak lebih banyak nyawa terkorban.

Menurutnya, isu ini amat kritikal dan perlu diselesaikan kementerian serta jabatan berkaitan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 7:50 PM