KEADAAN kenderaan mangsa yang kemalangan di Jalan Ladang Chiku 02. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan mangsa yang kemalangan di Jalan Ladang Chiku 02. FOTO Ihsan PDRM
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Mekanik maut dihempap pacuan empat roda yang dibaikinya di Jalan Ladang Chiku 02, di sini, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Noor Asmawi Mat @ Mohd Nor, 37, yang memandu Toyota Hilux maut di tempat kejadian, apabila tersepit dan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dipercayai mencuba kenderaan terbabit selepas membaikinya.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas semasa menuruni bukit sebelum terbalik ke arah kanan dan menghempapnya.

"Keadaan jalan yang dilalui adalah jalan ladang yang berbukit dan tidak berturap. Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 9:44 AM