AZMAN (empat kiri) bersama pegawai yang lain menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO MELVIN JONI
AZMAN (empat kiri) bersama pegawai yang lain menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Sibu: Seorang tokan dadah berjaya ditangkap, yang dipercayai bergerak aktif dalam menjalankan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki tempatan berusia 29 tahun itu dicekup oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Raya di sini pada 1 Disember lalu.

Katanya, hasil penahanan ke atas suspek berjaya menemui pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 5,940.11 gram, ketamin (4,407.24 gram), erimin 5 (1,830 gram), serbuk jus ecstasy (225 gram), pil ecstasy (750 gram) dan magic mushroom (Psilocybin) (960 gram) dengan anggaran nilai RM643,157.

"Suspek bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri, dengan modus operandi menggunakan bas ekspres untuk menghantar kiriman.

"Bekalan dadah diperolehi dari pengedar dadah di Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier.

"Suspek menjadikan sebuah pangsapuri untuk menyimpan dan membungkus semula dadah kepada paket yang lebih kecil," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Azman berkata suspek yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah juga didapati positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine.

Katanya suspek yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lalu itu disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 3 hingga 7 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 7:01 PM