FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, seorang lelaki bergerak menggunakan motosikal dan menyimpan ganja yang ingin dijual di dalam raga sementara ganja lain pula disimpan di dalam kereta.

Bagaimanapun kegiatan suspek berusia 48 tahun bersama seorang lagi rakan lelakinya 43 tahun terbongkar selepas polis menahan mereka dalam dua serbuan berasingan di Taman Batu Muda, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 8.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan suspek pertama di hadapan kedai dobi di taman terbabit kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas 10 ketulan mampat ganja 9,940 gram di dalam raga motosikal suspek.

"Susulan itu, pada jam 9.25 malam, lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Taman Batu Muda dan menahan suspek kedua.

"Mereka kemudian membawa polis ke sebuah kereta diletak di tepi jalan berhampiran hentian bas di taman terbabit di mana pemeriksaan menemui dadah ganja seberat 25,700 gram di tempat duduk belakang," katanya pada sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Beh berkata, dadah ganja yang dirampas keseluruhan adalah seberat 35,640 gram bernilai RM90,000 di mana suspek sudak aktif sejak tahun lalu.

"Siasatan mendapati mereka mampu mendapat pulangan sekitar RM6,000 sebulan hasil jualan dadah itu.

"Suspek menggunakan taktik menyimpan dadah di dalam kenderaan bagi mengelak disyaki polis ketika rumah diserbu selain menggunakan motosikal untuk menjualnya," katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat dari mana bekalan itu diperoleh dan dengan penanahan mereka polis percaya dapat menumpas sindiket pengedaran ganja di Lembah Klang dan Selangor.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah THC dan direman bermula Jumaat lalu hingga 1 Julai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, menerusi beberapa siri operasi bermula 14 Jun hingga Khamis lalu, seramai 41 orang terdiri 37 lelaki dan empat wanita berusia 19 hingga 55 tahun ditahan kerana terbabit dalam kes dadah.

"Dua lelaki berusia berusia 28 dan 41 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 3 (1)Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1952 kerana menjadi dalang mengedar dan membekalkan dadah.

"Polis turut merampas dadah heroin seberat 615.95 gram, ganja (1,539.68 gram), methamphetamine (1,134.98 gram), ketamin (5,194.20 gram) dan pil eramin 5(113 gram) dengan nilai keseluruhan RM438,713.16," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 4:32 PM