Mohd Iskandar Ibrahim dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta tempoh beberapa hari lagi sebelum mengumumkan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.

Perdana Menteri itu berkata, beliau kini masih lagi mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan hal berkenaan.

"Perbincangan masih berlangsung dan saya perlu berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) bersama dengan tiga parti utama yang lain, saya rasa mungkin beberapa hari lagi saya boleh kemukakan cadangan yang diberikan.

"Saya juga sudah bertemu dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta wakil Barisan Nasional (BN) dan mereka mempunyai jawatankuasa kerja yang mempunyai beberapa cadangan.

"Malah tengah hari ini juga saya akan bertemu dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor serta Warisan. Maka perbincangan kini masih diadakan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anwar mengulangi pendiriannya untuk memperkecilkan anggota Kabinet dan tidak mahu melantik lebih 70 menteri semata-mata sebagai imbuhan menyokong kerajaannya.

"Saya tidak mahu meneruskan pemberian tambahan ini untuk menggajikan atau melantik menteri atau penasihat sebagai ganjaran menyokong saya. Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan polisi yang dibawa serta komitmen untuk tadbir urus yang baik, anti rasuah serta ekonomi," katanya.

Sebelum ini, Anwar yang juga Pengerusi PH, memaklumkan kerajaan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil serta mengusulkan supaya gaji menteri berkenaan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut mengenai saiz Kabinet kecil dimaksudkannya itu termasuk dari segi bilangan kementerian atau menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 2:29 PM
ANWAR ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof. FOTO Mohd Fadli Hamzah