ANWAR hadir untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Putra. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR hadir untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Putra. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Khutbah Jumaat di seluruh masjid Wilayah Persekutuan hari ini mengingatkan Umat Islam supaya menerima keputusan pilihan raya dengan dengan hati yang terbuka kerana pemerintahan sesebuah kerajaan itu adalah dengan izin Allah.

Dalam khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini, umat Islam diingatkan dengan izin Allah sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ali 'Imran, ayat 26, mengenai pemerintahan yang sah wajar disokong oleh seluruh rakyat.

"Sebagai rakyat, kita mesti menumpahkan ketaatan dan kesetiaan kepada ulil amri iaitu mereka yang telah mendapat mandat untuk melaksanakan pemerintahan selagi tidak bertentangan dengan aturan syariat," kata petikan khutbah itu.

Khutbah Jumaat itu mengajak umat Islam kembali merapatkan ukhuwah Islamiah dan hubungan sesama warganegara dengan menjalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit.

"Sepanjang tempoh proses pilihan raya dijalankan, kadangkala wujud suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian.

"Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, sering kali berlaku perbezaan pendapat dan pandangan apatah lagi dalam suasana politik tanah air yang diwarnai dengan pelbagai latar belakang ideologi politik.

"Namun kita harus sedar bahawa kepelbagaian pemikiran manusia tidak seharusnya dibiarkan menjadi titik pergolakan yang berpanjangan. Justeru, hentikanlah sebarang tindakan provokasi yang boleh mengancam keharmonian masyarakat di negara ini," menurutnya.

Khutbah yang sama turut mengajak rakyat mengelakkan perbalahan, pergaduhan dan pertelingkahan sesama sendiri walaupun berlainan pemikiran dan politik.

"Sebagai umat Islam perlu menunjukkan akhlak mulia dan mengamalkan sikap berlapang dada.

"Marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah, laksanakanlah setiap suruhan Allah dan jauhilah setiap laranganNya. Mudah-mudahan kita kembali kepada Allah SWT kelak dalam keadaan diredai dan dikasihi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 3:43 PM