IZHAM (berdiri) berucap pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
IZHAM (berdiri) berucap pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh

Foto Faiz Anuar

Shah Alam: Sebanyak 98 buah kolam, tasik dan bekas lombong di Selangor akan digunakan bagi membantu negeri ini dalam menghadapi kemarau pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia membabitkan 20 bekas lombong yang sudah diwartakan melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selain 78 kolam tambahan baharu yang turut dikenalpasti.

"Daripada keseluruhan itu, kerajaan negeri sudah meluluskan 21 buah kolam dipilih untuk dinaik taraf dalam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

"Kolam yang dipilih ini dijangka mampu menyediakan tambahan bekalan air dengan ketahanan selama dua bulan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang bertanya mengenai pelan tindakan kerajaan negeri untuk menghadapi kemarau berpanjangan bermula tahun 2025.

Izham menjelaskan kolam-kolam tersebut akan dinaiktaraf dengan infrastruktur tambahan dengan jangkaan kapasiti sekarang iaitu 14 juta meter padu kepada 21 juta meter padu.

Sementara itu, Izham memaklumkan sebanyak 127 kolam takungan banjir Jabatan Pengairan dan Pengaliran (JPS) sedia ada turut dinilai semula.

"Ini bagi melihat sama ada juga boleh bertindak dwifungsi iaitu sebagai takungan banjir dan sumber air alternatif ketika musim kemarau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 2:05 PM