MANGSA yang terperangkap dalam kejadian kepala air dan banjir di pusat pelancongan Kampung Kaung Malaan, Kota Belud. FOTO Ihsan JPBM.
MANGSA yang terperangkap dalam kejadian kepala air dan banjir di pusat pelancongan Kampung Kaung Malaan, Kota Belud. FOTO Ihsan JPBM.
Juwan Riduan


Kota Belud: Seramai 30 individu berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian banjir dan kepala air di pusat pelancongan Kampung Kaung Malaan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kawasan berkenaan dilaporkan dinaiki air secara tiba-tiba akibat hujan lebat.

Difahamkan, semua mangsa membabitkan 20 pengunjung dan 10 kakitangan pusat pelancongan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.46 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama pacuan empat roda dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

"Semua mangsa terperangkap berpindah ke tempat yang selamat sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

"Pasukan bomba bertindak memastikan semua mangsa berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.22 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 7:26 PM