GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan penggunaan satu peti undi tambahan di bahagian-bahagian pilihan raya yang mempertandingkan tujuh atau lebih calon, kata Setiausahanya Datuk Ikmalrudin Ishak.

Ikmalrudin dalam kenyataan hari ini berkata, tambahan peti undi itu membabitkan 10 kawasan Parlimen iaitu P009 Alor Setar, P062 Sungai Siput, P099 Ampang, P102 Bangi, P107 Sungai Buloh, P110 Kapar, P111 Klang, P112 Kota Raja, P113 Sepang dan P115 Batu.

Selain itu, tambahan peti undi turut membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu N47 Chenderiang, Perak dan N66 Bugaya, Sabah.

Ikmalrudin berkata, penambahan satu peti undi di setiap saluran adalah perlu selepas mengambil kira saiz kertas undi yang disediakan adalah lebih besar dan memerlukan ruang mencukupi untuk memuatkan semua kertas undi yang ditanda oleh pengundi pada hari mengundi.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 8:07 PM