HASLINA bersama suami Shahrulzaman Saripuddin, di lokasi kejadian Muhammad Aiman Asyraf, 11, dikhuatiri lemas di alur Sungai Kemaman. FOTO Zaid Salim.
HASLINA bersama suami Shahrulzaman Saripuddin, di lokasi kejadian Muhammad Aiman Asyraf, 11, dikhuatiri lemas di alur Sungai Kemaman. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


Kemaman: "Dia suka mengaji dan ketika keluar makan pagi (sarapan) pada hari kejadian dia tak berhenti mengaji sepanjang berada dalam kereta," kata Haslina Yusoff, 48, ibu kepada Mohamad Aiman Asyraf Shahrulzaman, 11, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai, di sini, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di alur Sungai Kemaman berhampiran Pantai Marina, Jumaat lalu.

Menurut Haslina, anak ketujuh daripada lapan beradik itu sangat meminati al-Quran dan sering membaca kalam Allah itu walau di mana saja dia berada.

Malah, amalannya itu juga menjadi pujian guru kelas apabila menyifatkan kanak-kanak itu seorang yang baik dan sangat patuh kepada agama serta lancar membaca al-Quran dan rajin mengerjakan solat.

"Di sekolah, guru kelasnya memuji kerana kebelakangan ini Aiman dikatakan sangat lancar membaca al-Quran. Aiman juga sejak akhir-akhir ini kerap bercerita mengenai kematian dan mungkin juga itu adalah petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," kata Haslina ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, beberapa minggu sebelum kejadian Aiman beberapa kali meminta izin untuk menunaikan solat berjemaah di surau berhampiran kediaman mereka di Taman Bukit Kuang Sejahtera, di sini,.

"Dia (Aiman Asyraf) kata solat berjemaah di surau lebih banyak pahala tetapi saya tidak izinkan kerana bimbang dengan keselamatannya," katanya.

Haslina berkata, dia mengetahui kejadian malang yang menimpa anaknya itu pada jam 5 petang selepas diberitahu jiran.

Dalam kejadian jam 3 petang Jumaat lalu, Mohamad Aiman Asyraf dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama dua jirannya, Mohd Saiful Asyraf Mohd Saiful Azhar, 12, dan Wan Wafiuddin Wan Mohd Dzulkhairy, 9,.

Bagaimanapun, murid tahun enam dan tiga SK Bukit Kuang itu terselamat daripada lemas manakala mangsa hilang dibawa arus deras.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga tidak menemui sebarang petunjuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 7:34 PM